Monday 4 May 2015

KEMALANGAN DI DUKE : MENGAPA PILIH SIVIL BERBANDING SYARIAH?


Assalamualaikum.. Didoakan semua pengunjung blog ini di limpahkan rezeki dan sentiasa di dalam rahmat ALLAH. 


Semua lapisan masyarakat Malaysia melahirkan kesedihan terhadap insiden kemalangan maut yang menimpa sebuah keluarga di Lebuhraya Duke semalam. Kemalangan yang menyebabkan kematian suami isteri beserta seorang bayi berumur 7 bulan.
Yang menjadi kemarahan awam adalah apabila dilaporkan bahawa kemalangan tersebut adalah disebabkan berlaku perlumbaan haram antara 6 buah kereta Myvi di tempat kejadian. Apa yang perlu kita fikirkan juga adalah bagaimana nasib 2 orang lagi anak mangsa yang masih lagi kecil untuk meneruskan kehidupan mereka di dunia ini tanpa tanggungan ibu bapa disisi.
Jika diteliti undang-undang Sivil, diperuntukkan di bawah Seksyen 41 yang pesalah hanya dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun. Serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan hilang kelayakan daripada memegang lesen memandu selama tidak kurang dari tiga tahun.
Akan tetapi, keluarga mangsa tidak dapat pembelaan yang sewajarnya samada pampasan daripada penjenayah dan sebagainya. Bahkan, denda yang dikenakan kepada penjayah tersebut hanya diberikan kepada kerajaan bukannya kepada keluarga mangsa. Melainkan perlu melalui tuntutan file di mahkamah yang sudah pasti akan melalui prosedur dan kos yang berlainan.
Ia sangat berbeza dengan ketetapan yang telah ditetapkan di dalam Undang-undang Syariat dalam menyelesaikan kes ini. Dalam Islam, sebarang jenayah pembunuhan seakan-akan sengaja (Shibhu 'amd) tanpa niat, diwajibkan kepada penjenayah untuk membayar diyaat (Ganti rugi) kepada keluarga mangsa bukannya kerajaan.
Jika dibuka di dalam kitab-kitab fiqh seperti Fiqh Islam wa Adillatuh, Syeikh Wahbah Zuhaili menyebut bahawa diyaat yang dikenakan kepada jenayah pembunuhan tanpa niat (Dalam konteks kes ini) adalah diyaat mukhaffafah (Diyaat ringan), iaitu 100 ekor unta yang dibayar secara beransur-ansur selama 3 tahun dan setiap tempoh masa satu tahun dibayar 1/3 diyaat.
Walaubagaimanapun para ulama’ berpendapat boleh menggantikan 100 ekor unta dengan harta yang senilai dengannya pada masa tersebut. Diantaranya ialah:
a. Wang Emas – 1,000 dinar
b. Wang Perak – 10,000 dirham
c. Lembu – 200 ekor
d. Kambing – 2,000 ekor
e. Persalinan – 200 persalinan lengkap.
Kadar seekor unta misalnya RM4,000 maka jumlah satu diyaat penuh ialah RM 400,000. Manakala jika seekor lembu RM2,000 maka satu diyaat penuh ialah RM400,000. Begitulah nilai semasa satu diyaat penuh.
 Cuba bayangkan jika di dalam kes ini yang menyebabkan kematian seramai 3 orang, maka penjenayah perlu membayar ganti rugi tersebut kepada waris mangsa dalam kadar 3 kali ganda daripada kadar diyaat asal iaitu dalam kiraan kasar adalah lebih kurang RM1.2 juta.
 Disinilah dapat kita teliti rahmatnya undang-undang Syariah Islam berbanding undang-undang Sivil kerana ia bukan sahaja dapat menjatuhkan hukuman kepada penjenayah akan tetapi dapat membela waris mangsa dengan sewajarnya. Oleh kerana itulah PAS bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan Undang-undang Syariat ini kerana ia jelas membawa rahmat dan kesejahteraan kepada alam keseluruhannya.
Wan Muhammad Mizan Wan Abd Latiff
Ketua Penerangan DPPK K. Terengganu

No comments:

Post a Comment